Kembali Bernyanyi Wan_Aishah_binti_Wan_Ariffin

Gara-gara pengundurannya dari syarikat rakaman EMI, nama Aishah terus sepi dari industri muzik selama 5 tahun. Aishah sempat merakamkan dua buah lagu untuk runut bunyi filem animasi Putih pada tahun 2001 iaitu lagu "Kasih Putih" dan duet bersama M. Nasir berjudul "Senandung Sayang". Aishah juga berpeluang membuat persembahan di Dewan Filhamonik Petronas pada tahun 2001. Hanya pada tahun 2005 Aishah kembali menggegarkan industri seni apabila merakamkan kembali lagu yang asalnya dinyanyikan Misha Omar untuk album keduanya iaitu "Tiada Lagi Tangisan" ciptaan Adnan Abu Hassan. Kerjasama Aishah dan Adnan ini berjaya mempopularkan lagu yang tidak dipromosikan oleh Misha dan BMG Music sebelum ini. Dari situ mereka bekerjasama menghasilkan album solo Aishah yang kelapan berjudul "Kurnia" pada tahun 2006 dengan hits lain seperti "Melukut Di Tepi Gantang" dan "Kasihnya Balkis". Lagu "Kasihnya Balkis" berjaya membawa Aishah kembali ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-22 pada 2007, penyertaan ketiganya dan terakhir setakat ini[5].

Pada tahun 2009 Aishah bekerjasama pula dengan Azlan Abu Hassan dan Habsah Hassan untuk single "Yang Ada Hanya Kenangan" terbitan Sony BMG. Pun begitu single ini kurang dipromosikan menyebabkan perancangan menerbitkan album solo pop terbaru gagal dilaksanakan[6]. Aishah membuat konsert tradisional "Konsert Aishah - Irama Warisan Kita" di Dewan Filharmonik Petronas pada tahun itu dengan mendendangkan lagu-lagu tradisional dan klasiknya [7]. Aishah mengambil keputusan untuk meninggalkan syarikat rakaman tersebut dan menerbitkan sendiri album solo berkonsepkan kerohanian pada tahun 2010 berjudul "Anak" . Album ini meluncurkan dua single berirama nasyid berjudul "Anak" dan "Ayuhai Anak".

Namun sejak aktif dalam dunia politik pada tahun 2013, nama Aishah kian dilupakan media. Biarpun masih utuh di hati peminat, penampilan beliau sejak itu semakin berkurangan. Aishah menabur jasa dan kreativiti selama lebih 30 tahun di dalam industri muzik Malaysia dan sedunia hingga menjadi idola dan rujukan ramai penyanyi-penyanyi baharu yang lahir selepasnya seperti Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Misha Omar dan menjadi inspirasi buat penyanyi muda yang menerjah pasaran antarabangsa seperti Yuna Zarai dan Shila Amzah. Aishah juga berjaya mengembalikan semula populariti lagu-lagu bernuansa Melayu dan mengangkat muzik tradisional ke peringkat yang lebih komersial pada era 1990an. Pencapaian Aishah di dalam industri Muzik sememangnya sukar untuk dicapai oleh generasi kini dan beliau tetap satu-satunya biduanita kebanggaan negara dan rantau ini.

Kehilangan Aishah dalam dunia nyanyian terhenti lagi apabila Aishah bersetuju menyertai program Gegar Vaganza (musim 4) pada tahun 2017 atas tujuan untuk menghilangkan kerinduan peminat-peminatnya yang ingin kembali mendengar nyanyian beliau. Beliau turut berhasrat untuk menyanyi selagi beliau masih mampu untuk mencapai nota-nota tinggi yang pernah dinyanyikannya dahulu. Aishah telah digelar "the legend" dalam program Gegar Vaganza kerana pengalaman dan usia beliau yang melangkaui penyanyi lain yang pernah menyertai program tersebut. Kemenangan Aishah sebagai juara memberikan semangat baharu buat beliau untuk terus memberikan persembahan terbaik untuk generasi lama yang merindui beliau dan generasi muda yang baru sahaja mengenali beliau.

Rujukan

WikiPedia: Wan_Aishah_binti_Wan_Ariffin http://www.sabahdaily.com/2012/07/aisyah-saya-pili... http://www.theedgemalaysia.com/in-the-financial-da... http://www.youtube.com/watch?v=Pu-IUEmM3bs&feature... http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=10... http://www.sinarharian.com.my/politik/peminat-horm... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt...